Pengerusi Eksekutif
Dato' Ustaz Md. Daud b. Che Ngah
![]() |
Dilahirkan pada 14 Februari 1946 di Kampung Tanjung, Baling, Kedah Darul Aman, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Syed Sheikh Jerai, Baling, Kedah. Kemudian melanjutkan pelajaran di Pondok Khairiyah, Kampung Pisang, Baling, Kedah. Seterusnya, melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Yahyawiah, Padang Rengas, Perak, Sekolah Menengah Clifford, K. Kangsar dan Sekolah Menengah Pegas (persendirian) Tasik Gelugor, Seberang Perai, P. Pinang. Setelah tamat persekolahan, beliau telah melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya dalam bidang Usuluddin dan Ekonomi Islam di Universiti Islam Antarabangsa. Beliau telah dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN), Bintang Cemerlang Kedah (BCK), Tokoh Pimpinan Masyarakat Islam sempena Maal Hijrah Wilayah Persekutuan 1992 dan DPSK sebagai anugerah kehormat dalam bulan Ogos 2004. Berpengalaman luas dalam pengurusan haji (kursus haji dan umrah serta pengendalian jemaah haji di Makkah) hampir selama 30 tahun ketika bersama Lembaga Tabung Haji dan aktif memberi ceramah dan kuliah-kuliah agama di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Kedutaan Malaysia di United Kingdom. Juga merupakan salah seorang ahli Muzakarah Ibadat Haji peringkat Kebangsaan dan menjadi Setiausaha Majlis Muzakarah itu pada tahun 1986 - 1998. Beliau juga pernah menjadi perawi kisah-kisah nabi di Radio 1 (RTM) selama 10 tahun (1990 - 2000) dan Ahli Forum Perdana serta penulis di bahagian Gema Islam di akhbar Berita Minggu, kisah-kisah jemaah Haji di Mingguan Wanita dan menulis beberapa buah buku yang berkaitan dengan ibadat haji dan umrah. Kini bertugas sebegai CEO Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., tenaga pengajar kursus haji dan penceramah bebas, pembekal barang-barang haji dan umrah, vcd, kaset dan pakaian haji. Sehingga kini beliau masih menjadi penceramah jemputan di Radio IKIM dan penulis di media cetak atas permintaan semasa. Beliau juga mengendalikan jemaah Haji dan umrah Syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. Dato' Ustaz Md. Daud Che Ngah telah mendirikan rumah tangga dengan Hjh, Arbi bt, Abd, Rashid dan telah dikurniakan 4 orang anak (2 lelaki dan 2 perempuan). |

